BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, 28 September 2013

Malaysia lebih tertib...

Saya pernah berkunjung ke Medan, Indonesia bersama keluarga mak cik saya, suasana di sana terlalu bising dengan bunyi hon kenderaan, terlalu sesak dengan kenderaan dan mereka tidak mematuhi lampu isyarat di sana. Pengalaman yang agak menarik namun cukup membuat tubuh saya menggigil ketakutan apabila teringatkan pengalaman saya menunggang motosikal di sana. Pada awalnya Pak Cik saya mengajak saya untuk ke kedai membeli Gado-gado, saya terus bersetuju tanpa berfikir panjang. Rumah itu berada jauh di pedalaman namun sebaik tiba di suatu persimpangan untuk melintas ke seberang saya mula merasa peluh telah memercik keluar, saya jadi panik apabila kenderaan di sana langsung tidak berhenti memberi laluan untuk saya keluar daripada persimpangan tersebut. Pak cik saya telah jauh meninggalkan saya di belakang, apabila dia sedar akan saya yang masih termangu-mangu untuk melintas keluar dari persimpangan tersebut, dia berpatah kembali dan menyuruh saya mengikutinya. Penyesalan mula hadir dalam diri saya, motosikal yang terlalu banyak di sana, suasana sesak dengan motosikal dan juga bising dengan bunyi hon. Bertalu-talu bunyi hon daripada kenderaan lain sewaktu mereka cuba melintasi saya, marah agaknya saya menunggang motosikal terlalu perlahan.

                                                           (Gambaran semata-mata)

Namun, Alhamdulillah mereka cukup cekap menunggang motosikal kerana berjaya menggelakkan kemalangan walaupun terlalu banyak motosikal dan mereka menunggang dengan laju. Pengalaman pertama dan itu juga pengalaman terakhir saya, mungkin!. Saya tidak mungkin berani untuk menunggang motosikal di negara jiran itu lagi.

Tuesday, 24 September 2013

~kerinduan ini~

Ya Tuhanku...aku terlalu merindui detik-detik indah ku bersama anak-anak kesayangan aku.....
Aku terlalu rindukan saat manis, Si Comot yang menjilat wajahku persis dia membersihkan anak-anaknya....Aku pernah menyaksikan sendiri detik kelahiran anak Comot dan Honey yang pertama.
Anehnya, Comot tidak pula marah atau merajuk apabila aku kerap memegang anak-anaknya. Kelahiran yang pertama ku jaga rapi. Malamnya ku bakar asap sabut agar nyamuk tidak mengganggu lena si kecil itu. Tarikhnya pasti aku ingat, 9 Febuari 2011!

Kasih Sayang mereka...



Sayangnya Honey mati di makan manusia...manakala Comot mati setelah aku masuk ke Kolej. Baru 4 hari aku tiada di rumah, Comot mati tanpa aku tahu sebabnya....moga pewaris mereka masih ada untuk aku memelihara kembali anak-anakku yang ramai itu.



Monday, 23 September 2013

Cikgu Sastera den...

Hari ini agak sentimental mungkin buat diri ini kerana mengenang kembali zaman persekolahan tingkatan enam....Wajah yang pasti memberi seribu satu inspirasi dan juga mencetuskan semangat untuk berjaya.

Tuan Haji Mazlan
 
Beliau menjadi pencetus semangat untuk saya mengakrabkan dengan bidang kesusasteraan. Beliau guru sastera saya! guru yang paling saya sayangi! guru yang paling saya kagumi!
Semasa di tingkatan Enam, saya duduk di meja paling hadapan dan meja saya itu benar-benar berada dihadapan meja guru. Satu tabiat buruk yang saya fikir ialah, saya gemar merenung ke dalam mata guru itu, perasaan saya di buai-buai dengan keasyikkan mendengar peri beliau. Apa sahaja yang beliau kata kan pasti melekat ke dalam minda saya. Saya benar-benar sayang akan beliau. Foto ini di ambil semasa hari persaraan beliau.
 
 
Saya jarang memperagakan diri saya yang sedang menangis, namun pada hari persaraan beliau, mutiara jernih itu turun tanpa saya sedari. Cuba saya selindungkan dengan melarikan diri di bawah tangga dan menangis sepuasnya. Persaraan beliau tidak saya raikan sebenarnya, kerana tiada apa yang perlu dirai apatah lagi perpisahan.
 
Semasa di tingkatan enam bawah, bulan pertama persekolahan, beliau terlalu asyik bercerita mengenai Abdullah Munsyi sehingga ada seorang rakan saya melukis gambar beliau dalam bentuk animasi dan menggelar beliau Abdullah Munsyi. Agak biadab bukan?
 
Pernah suatu ketika, Sekolah mengadakan pertandingan banner kemerdekaan, saya cuba mencuri peluang yang pertama kali untuk tidak masuk ke kelas beliau, saya pernah tidak hadir pada kelas guru-guru lain tetapi saya tidak pernah tidak hadir dalam kelas beliau, apatah lagi kelas sastera. Namun pada hari berkenaan, saya mencuba untuk tidak masuk ke kelas beliau, lihat saya foto di bawah bagaimana asyiknya saya mewarnakan banner kemerdekaan itu....
 
 
Tidak sampai 10 minit saya berada di bawah, saya menerima pesanan ringkas daripada rakan-rakan di dalam kelas yang mengatakan beliau mahu saya masuk belajar di dalam kelas. 'Alamak!', kataku perlahan.
saya bergegas meniti anak tangga untuk masuk ke dalam kelas. Beliau rupanya menunggu saya  sebelum memulakan pengajaran pada hari itu. Dengan riak rasa penuh bersalah, saya memandang wajahnya dan pandangan mata kami bertemu tanpa di atur.
"Yang lain jika tidak mahu masuk ke kelas tidak mengapalah, biarkan sahaja", katanya sambil memandang tepat ke anak mataku.
Saya hanya tersenyum, dalam hati berbunga-bunga...sayang juga beliau kepada saya.
Guru yang membuat saya benar-benar mencintai dunia sastera.
 

Thursday, 19 September 2013

sambungan....

"Katak! katak! ada katak atas katil ni", aku mula menjerit menggemparkan seisi keluarga yang sedang lena tidur. Mereka menerjah masuk ke kamar ku untuk melihat katak yang aku maksudkan, puas ayah tercari-cari tangannya lincah menyebak selimut, menurunkan bantal-bantal untuk menampakkan kelibat sang katak. Apa yang di cari tidak ditemui diatas katil sebaliknya sesuatu yang lebih menakutkan pula yang kami jumpai berada didalam baju yang sedang aku pakai, jika dilihat dari posisi aku yang membelakangkan ayah, Nampak sesuatu yang besar bergerak perlahan-lahan keluar dan melompat keluar dari dalam baju. Lompatan keluar katak gergasi diikuti dengan beribu-ribu katak puru, kodok, dan segala macam spesisnya sehingga memenuhi setiap ruang bilikku, aku mulai terlompat-lompat mencari ruang yang kosong untuk berpijak. Suasana malam itu gempar dengan seekor katak puru gergasi yang badannya disaluti dengan lendir yang meloyakan, bau busuk memenuhi ruang kamar pada malam itu. "Katak besar mak, katak besar ada dalam baju, buanglah semua katak-katak ni mak", aku mula menangis teresak-esak, lendir pada katak terasa melekat lagi pada belakang badan aku, sesekali aku meloya kerana bau busuknya memenuhi ruang rongga.

 
"Woi dik, engkau ni dah kenapa terjerit-jerit tengah malam, orang dah cakap jangan di usik-usik katak tu petang tadi degil tak nak dengar, kan dah mengingau", jerit kakak pula mengejutkan aku dari igauan mimpi yang menakutkan. "Fuh lega, selamat aku dari katak besar tu", sempat lagi aku menarik lafas kelegaan kerana mimpi itu seolah-olah satu tanda peringatan kepada aku supaya tidak lagi mengganggu ketenteraman katak-katak di luar sana. Sejak dari itu, katak menjadi musuh nombor satu aku, bukan hanya sekadar geli melihat badannya tetapi setiap kali terjumpa katak aku pasti terlompat-lompat melarikan diri kerana aku merasakan katak itu cuba mengejar aku. Pernah suatu ketika semasa balik ke kampong di Pekan Lanchang, Pahang aku memanjat dan duduk bertinggung memegang kaki kerana melarikan diri daripada seekor katak yang agak besar saiznya. Katak itu agak besar, faktor genetik agaknya tambahan pula kampong itu berada jauh ke pedalaman iaitu Kampung Jergoh.

Nostalgia yang hilang...

Tidak berbicara mengenai nostalgia diri namun entri kali ini mengenai sebuah buku himpunan cerpen yang bertajuk "Nostalgia Yang Hilang". Buku ini baru sahaja di beli meskipun bukan buku yang baru namun kondisinya masih elok harganya juga berpatutan serendah RM6 yang dibeli di sebuah gerai menjual buku terpakai di Metro Point Kajang. Banyak juga buku-buku di sana serendah RM1 juga ada namun bergantung pada ketebalan buku tersebut.

Selain buku itu, saya juga telah membeli sebuah buku bertajuk 'Perjudian' karya S. Othman Kelantan.

Wednesday, 18 September 2013

~Melangkah masuk ke Penjara Kajang kali kedua~

Hari ini hari istimewa kerana berpeluang menjejakkan kaki
kali kedua ke perkarangan Penjara Kajang. Perasaan masuk ke sana pasti ada debarnya sama ada dibenarkan masuk atau tidak seawal melewati perkarangan pintu masuk yang dikawal rapi oleh dua orang Pegawai bertugas. Alhamdulillah alasan untuk kami masuk ke sana agak munasabah mungkin, lalu Putih yang saya dan sahabat saya naiki berjaya masuk ke sana, kali pertama saya menjejakkan kaki ke Penjara Kajang atas urusan Pemeriksaan Fizikal dan pancaindera untuk jawatan Pegawai Penjara pada sekitar tahun 2011 semasa menuntut di tingkatan Enam. Kini saya datang kembali pada tahun 2013 dengan penuh perasaan gementar kerana tidak lama lagi saya bakal mendiami sekitar kawasan ini.

Mendengar kisah-kisah Misteri, sedih, ngeri dan berbagai lagi sudah cukup membuat diri saya dihantui pelbagai tafsiran mengenai kehidupan mereka-mereka yang tidak berbaju, duduk disebalik tirai besi sambil merenung ke luar, berfikirkan mengenai keluarga atau apa juga kekhilafan yang pernah mereka lakukan menyebabkan mereka terhumban ke sana.
 
Satu cerita atau kisah yang saya ketahui oleh seorang Pegawai Penjara yang sangat akrab dengan diri saya, semua banduan akhir akan dihantar ke Penjara Kajang dan ahli keluarga mereka boleh mengutus surat kepada insan-insan istimewa disebalik tirai besi ini, namun sejak tercetusnya peristiwa seorang banduan akhir yang melakukan amuk gara-gara menerima surat penceraian daripada isterinya menyebabkan Jabatan Penjara mengambil inisiatif untuk menapis surat-surat yang dihantar kepada insan-insan istimewa ini.
 
Kisah yang lain lagi pengalaman ngeri dari seorang Pegawai Penjara yang telah berpangkat adalah melihat dihadapan mata seorang banduan disembelih oleh banduan yang lain hanya menggunakan kepingan kaca. Pasti memberi impak yang besar dalam diri Pegawai berkenaan pastinya.
 
Agak menakutkan mendengar kisah-kisah sedemikian, namun banyak perkara yang saya ketahui apabila punyai pertalian akrab dengan individu yang berkhidmat di Jabatan Penjara. Info agak menarik bagi saya adalah kata WP 21202 kesemua banduan tidak mengira apa jua jenis kesalahan tidak SUKA dan BENCI pada banduan kes rogol? Mengapa? Bukankah mereka yang lain juga berbuat kesalahan namun mengapa sepakat membenci pada banduan kes rogol? hanya mereka yang tahu sebab dan akibatnya.....
 

Thursday, 12 September 2013

~Putera Katak~

Ramai kanak-kanak diluar sana yang pernah atau sering di omok-omokkan kisah "Putera Katak" oleh ibu bapa mahupun di ceritakan oleh orang-orang dewasa mengenai seekor katak yang boleh berubah menjadi Putera Raja apabila dikucup.


 Kanak-kanak lain pasti berasa teruja mendengar dongeng tersebut sehingga tanpa rasa geli memegang katak yang umum mengetahui bahawa katak adalah seekor hidupan amfibia yang badannya dipenuhi dengan bintik-bintik yang menggelikan. Katak dewasa bercirikan kaki belakang yang panjang, badan yang pendek, jari berselaput, mata jongang dan ketiadaan ekor. Kebanyakan katak menjalani hidup mata jongang, tetapi juga mudah bergerak di daratan dengan melompat atau memanjat. Kanak-kanak lain begitu gemar bermain dengan katak, kadangkala seakan-akan menyeksa hidupan berkenaan termasuklah aku. Hampir setiap hari katak-katak yang ada bersembunyi di dalam kasut akan aku keluarkan dan aku pici-picit badannya, ku usik kakinya sambil mengira jari kakinya satu persatu.

Teguran daripada mak tidak aku hiraukan malah semakin teruk aku kerjakan katak puru yang menggerutu seluruh badannya, pada masa itu tidak pula timbul rasa geli dalam diri. Namun, hati ini pada suatu hari tiba-tiba berasa katak yang sering aku ganggu lenanya seakan-akan cuba membalas dendam terhadap segala perlakuannya terhadap aku. Sejak dari hari itu, aku mula berubah menjadi penakut, sehingga pernah pada suatu malam aku berasa terlalu banyak katak berada di atas katil yang cuba membalas dendam dan mengganggu lenaku pula. Aku mula terjerit-jerit di tengah malam...........

Bersambung nanti ya, mak panggil.........

Wednesday, 11 September 2013

~Langkah Pertama~

Permulaan dalam merencanakan sebuah coretan 'Nostalgia' yang pasti menimbulkan kelucuan, kekeliruan, kesedihan dan juga kegembiraan pengunjung setia laman ini........


Setiap langkah pertama yang diambil pasti punya cela nya........


LANGKAH PERTAMA ITU ADALAH HARAPAN
SEDANGKAN TIDAK MELANGKAH
LANGSUNG TIADA HARAPAN.

OLEH : DATO' DR. SYED AHMAD