BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, 29 December 2013

Kerangka Hidup...

Hidup ini bagi saya perlukan sebuah pelan atau perancangan hidup yang teratur. Makanya, mungkin agak keterlaluan bagi mereka yang terasa hati dengan saya yang bencikan individu yang memusnahkan kerangka hidup yang saya telah tentukan.



Majlis yang saya fikir penting dalam hidup, mudah sahaja manusia merobohkannya. Ya! mereka tidak memahami kemelut di muara hati ini yang sarat dengan pengharapan agar mereka menerapkan jalinan plot majlis yang telah saya atur. Jika majlis saya, eloklah saya sendiri yang menentukan. Mengapa pula saya dijadikan seperti boneka yang ditolak sana sini. Pastinya mereka tidak punya kerangka yang bagus dalam perancangan majlis mereka. Mujur mak menjadi pengubat hati yang hanya menyuruh saya mendiamkan diri dan membiarkan sahaja mereka itu. Biarkan mereka dengan cara mereka, yang penting majlis kita selamat dan BERJAYA!

Friday, 20 December 2013

Selamat Bercuti

Akan pulang ke kampong sebentar nanti, mahu menemui emak sebelum musim peperiksaan bermula. Janggal rasanya jika tidak pulang bertemu emak dalam jangka masa yang lama. Emak sering sahaja memarahi saya yang kerap pulang, tetapi apakan daya, kerinduan itu tidak semestinya perlu diungkap dengan kata-kata, lalu saya biarkan sahaja leteran itu.

Thursday, 19 December 2013

Gelombang Theta

Hari ini mengimbau kembali kisah-kisah mengenai teman saya yang terlalu kuat 'mengingau'.
Pernah suatu ketika, saya membawa teman saya itu pulang ke kampong saya di Pahang(keluarga angkat mak), teman saya itu berjalan dalam tidurnya.

Sedang semua nyenyak tidur, teman saya ini menjerit-jerit, meracau bercakap perkara-perkara yang menakutkan. Pada malam seterusnya, dia berjalan dalam tidurnya. Sangat Menggusarkan saya sebenarnya mengenai masalah beliau itu.




Kembali gelombang theta, apabila saya cuba mengaitkan watak beliau dalam cerpen saya, saya menemui artikel berkaitan gelombang theta iaitu individu yang berada di bawah minda separuh sedar.

Gelombang Theta terhasil apabila seseorang individu hampir-hampir untuk tidur. Ketika mindanya berada dalam keadaan tenang tanpa gangguan. Paksi gelombang theta berpusat daripada minda yang tenang kerana menerusi itulah akan menggerakkan otak kanan untuk berkreativiti.

Wednesday, 18 December 2013

sui gatti ;Italian

Bercerita tentang kenangan mengenai 'gatto' iaitu kucing. Pernah suatu ketika, emak mengatakan kucing dirumah yang menjadi penyelamat kepada ayah. Tanpa dia, pasti kami sekeluarga tidak menyedari kehadiran binatang berbisa didalam rumah iaitu ular. Menurut mak, sebaik sahaja ayah keluar dari bilik pada jam 5 pagi untuk keluar menorah, si gatto terus berlari menerkam kaki ayah dan sedaya upaya menarik perhatian ayah untuk melihat kehadiran ular berbisa itu. Tanpa gatto, pasti ular itu telah merayap ke bahagian dalam rumah. Fikirku, pasti gatto berjaga malam bagi memastikan ular itu tidak bergerak ke sekitar. Jasa gatto buat kami sekeluarga.

Gatto kami

Monday, 16 December 2013

Rebah...

Rebah...terasa lemah kaki ini, sakitnya hadir menyerbu secara tiba-tiba. Langkah kaki menjadi kaku malah ku rebah ke lantai seketika dalam mengumpul daya menghimpun kekuatan untuk kembali berdiri mencari tempat bersandar. Penat fikirku, kepenatan membuat kaki ini diserang kesakitan yang luarbiasa dan tidak pernah sekali pun ku alami. Hingga suatu saat aku mencapai telefon tangan cuba menghubungi rakan-rakan untuk memohon bantuan. Hampa! talian tidak dapat disambungkan. Persoalan yang bermain-main dibenak hanyalah aku yang akan lumpuh!. Fikirku mahu terus ke Klinik Kesihatan selepas habis kelas, malangnya semuanya berciciran. Saat masa yang kita cuba kejarnya namun tak tergapai dek kerana pentingnya menjaga nilai persahabatan.

Friday, 13 December 2013

Harapan tiba dari Mimpi

Alhamdulillah, Amin ya Allah, semoga mimpi malam tadi itu menjadi benar dan kenyataan Insya-Allah Taala.

Saya bermimpi mengambil penerbangan ke Indonesia namun kemudiannya terpaksa pulang ke Malaysia kembali untuk menerima hadiah atas kemenangan karya saya yang sulung. Tidak pasti kategori karya apa malah tajuknya samar-samar dalam ingatan saya. Saya pasti tajuk itu merupakan tajuk hasil gabungan nama saya dan teman saya. Berharap mimpi itu jadi kenyataan agar hidup ini biarpun "tidak semanis impian" tetapi biarlah ianya menjadi "seindah harapan" agar segalanya menjadi "tiada lagi mimpi".


Tokoh-tokoh hebat yang berjaya  bermula dari mimpi....

10. Martin Luther King, Jr Martin Luther King memiliki mimpi yang begitu besar. Beliau pernah berkata bahawa dia bermimpi pada suatu hari, orang-orang kulit hitam mempunyai hak dan darjat yang sama dengan orang-orang kulit putih di Amerika. Sampai saat ini, pesan dan mimpinya telah menginspirasi ramai orang untuk menghapus perbezaan tersebut.
9. Michael Jordan
 Beliau pernah ditolak masuk pasukan bola keranjang kerana pelatihnya mengatakan dia tidak cukup tinggi untuk bermain bola keranjang. Tetapi, dia tidak peduli kerana dia memiliki mimpi menjadi pemain bola keranjang ternama. Dengan latihan berterusan, beliau telah menjadi pemain bola keranjang yang tersohor dan menjadi legenda yang tiada penggantinya.
8. Tiger Woods
Tiger Woods salah seorang pemain golf terbaik dunia. Tahukah Anda bahawa beliau sudah memiliki mimpi menjadi pemain golf pada usianya baru 8 tahun?
7. Bill Gates
Siapa yang tidak kenal Bill Gates, salah seorang individu terkaya di dunia kerana mendirikan perusahaan Microsoft. Beliau memiliki mimpi bahawa suatu hari setiap rumah akan memiliki PC (Personal Computer). Meskipun ia tidak lulus kuliah, tapi dia berjaya menjadi seperti sekarang ini.
6. Kolonel Sanders
Ketika Sanders pensiun, dia mendapati dirinya hanya memiliki sedikit wang yang tidak cukup untuk memenuhi hari tuanya. Maka dari itu, dia berusaha menjual resepi ayam goreng ibunya kepada penjual-penjual. Tapi semua orang menolak. Bukan hanya puluhan atau ratusan kali ditolak, tapi dia ditolak lebih dari seribu kali, tepatnya 1006 kali. Pada suatu ketika resepinya dibeli, sehinggi kini KFC gah berdiri atas resepi tersebut.
5. Presiden Kennedy dari AS
Suatu hari, Presiden Kennedy dalam pidatonya pernah mengatakan ingin menghantar manusia ke bulan. Adakah mimpinya di terima oleh para pendengar? Sama sekali tidak! Bahkan semua orang tertawa mendengarnya kerana mimpi tersebut sangat mustahil. Tapi sejarah membuktikan bahawa dia berhasil mewujudkan mimpinya yang dulunya belum pernah direalisasikan oleh orang lain.

4. Wright Bersaudara

Mereka hanyalah mekanik yang pekerjaannya membaiki basikal. Suatu hari, mereka melihat burung  terbang bebas di udara. Mereka bertanya mengapa manusia tidak mampu melakukan seperti itu. Lalu  mereka membuat sesuatu yangyang mampu membawa manusia terbang.
 Ramai orang mengatakan mereka sudah tidak waras. Di zaman itu, belum ada pesawat dan sangat tidak masuk akal kerana gaya gravitasi bumi yang akan membuat semua benda jatuh ke tanah. tapi, sampai suatu hari mereka berjaya membuat mesin pertama yang bisa terbang. Penemuan mereka termasuk salah satu yang terbesar dalam sejarah manusia.
3. Steve Jobs
Steve Jobs adalah pengasas perusahaan teknologi Apple. Beliau dianggap sebagai salah satu pencipta terbesar dalam sejarah umat manusia melalui berbagai produk teknologi yang diciptakannya. Dia juga dianggap seorang visioner yang tidak tergantikan. Produk ciptaannya  antara lain, iPod, iPhone, iPad, MacBook dan lainnya.
2. Thomas Alva Edison
Salah satu ciptaan beliau ialah bola lampu yang menerangi langit malam yang gelap menjadi terang benderang. Berkali-kali beliau gagal menghasilkan bola lampu yang mampu menerangi malam namundisebabkan memiliki mimpi untuk menerangi dunia di malam hari, bukan hanya bola lampu yang ditemukannya, tetapi juga lebih dari 1000 lain yang membuatnya menjadi pencipta terbesar dalam sejarah.
1. Siti Nurfa Izatul Erma
Penulis muda yang Berjaya menjadi seorang penulis bermula dari mimpinya menerima anugerah dalam bidang penulisan. Menjadi wanita bekerjaya merupakan cita-cita beliau namun dalam masa yang sama beliau cuba merealisasikan impian untuk menjadi seorang isteri, ibu dan pelajar yang berjaya dalam kehidupannya untuk menjadi seorang penulis hebat dan berjaya.

Thursday, 12 December 2013

~Bertatih dalam dunia penulisan~

Julung kalinya belajar mencorak coretan kenangan, pengalaman, sedikit ilmu dalam menghasilkan sebuah cerpen yang bertajuk "TERPENJARA DALAM RUANG THETA".


Tema:

Kuasa gelombang Theta yang membawa Cikgu Wadar berada di masa lampau iaitu sekitar tahun 1935 yang telah melihat dirinya sebagai seorang Komisioner Jeneral bagi Jabatan Penjara Malaysia. Perjalanan yang terpenjara ke dalam ruang Theta berpunca akibat keinginannya yang tinggi untuk mengetahui misteri yang ada di sebalik ruang sel yang telah lama ditinggalkan kosong tanpa penghuni. Cikgu Wadar berada di dalam latar memperlihatkan kejayaannya namun telah menjadikan dirinya seolah-olah manusia yang tidak amanah dalam pekerjaannya. Setelah terperangkap didalam ruang Theta dia mulai sedar bahawa dia telah banyak melukakan hati ibunya. Ruang theta mengajarnya agar tidak terpenjara dengan impian menjadi seorang Komisioner Jeneral pada masa hadapan yang culas dalam menggalas tanggungjawab. Di sana dia belajar bahawa kedudukan seorang ibu itu tinggi tempatnya malah kejayaan yang ditempa itu hasil doa dan redha dari seorang ibu.

Galakkan menulis! Terima Kasih.

Wednesday, 11 December 2013

Istimewanya kedudukan isteri di mata seorang suami.

Entri kali ini tidak sebarang kaitan dengan coretan Nostalgia namun tertarik dengan kiriman mengenai kedudukan seorang isteri di ruangan laman "Facebook" UKM confession ini.

Nilai sebenar seorang isteri...

Seorang penceramah mengadakan permainan kecil kepada tetamu di dewan yang sudah berkeluarga dan meminta 1 orang datang ke depan.
PENCERAMAH: ”Tulis 10 nama yang paling rapat dengan anda”
Lalu lelaki tersebut menuliskan 10 nama, ada nama jiran, orang tua, teman kerja, sahabat, anak dan juga isterinya serta seterusnya.
PENCERAMAH: ""Sekarang sila pilih 7 di antaranya anda ingin hidup terus bersamanya""

Lelaki itu memadam 3 nama yang ditulisnya tadi.

PENCERAMAH: ""Sekarang hapuskan 2 nama lagi, sehingga tinggal 5 nama sahaja di papan tersebut...""

PENCERAMAH : “Hapus 2 nama lagi...”

Maka tinggal 3 nama, iaitu nama orang tua, anak dan isterinya.
Suasana dewan menjadi hening, mereka berfikir semua sudah selesai dan tak ada lagi yang harus dipilih.

Tiba-tiba PENCERAMAH berkata: “Silakan padam 1 nama lagi!”
Lelaki itu dengan perlahan-lahan mengambil keputusan yang sulit dan menghapus nama orang tuanya.

PENCERAMAH : ""Silakan pilih 1 nama lagi!""

Lelaki tersebut menjadi bingung. Kemudian mengangkat kapur dan dengan berat hati mulai menghapus nama anaknya dan lelaki itu pun menangis.

Setelah suasana tenang,

PENCERAMAH bertanya kepada lelaki itu, ""kenapa kau tidak memilih orang tuamu yang telah melahirkan dan membesarkanmu, tidak juga memilih anak yang darah daging anda sendiri, sedangkan isteri itu dapat kau cari lagi?""

Semua orang di dalam dewan tersebut terpaku menunggu jawapan dari lelaki tersebut.

Lalu lelaki itu menjawab:
”Seiring waktu berlalu, orang tua saya akan pergi meninggalkan saya, manakala anak jika sudah dewasa akan berkahwin, dan juga pasti akan meninggalkan saya. Sedangkan yang benar-benar boleh menemani saya dalam hidup ini hanyalah ISTERI saya. Orang tua dan anak bukan saya yang memilih, tapi Tuhan yang menganugerahkannya. Sedangkan ISTERI, sayalah yang memilih dari sekian banyak wanita yang ada di dunia ini.” 

      
#Agaknya, begitulah penghargaan ayah kita terhadap ibu kita yang memperlihatkan jalinan kasih saying yang erat antara mereka.
 

Sunday, 8 December 2013

~Terpenjara Dalam Penjara~

Sejak pertama kali teman saya itu menerima surat panggilan temuduga dari SPA untuk Jabatan Penjara Malaysia, hati saya telah mula tertarik untuk mendalami dunia kepenjaraan itu. Namun, kegagalan beliau semasa sesi temuduga lisan yang diadakan menyebabkan saya terpaksa menguburkan sahaja hasrat untuk mendalami dunia berkenaan kerana tidak mahu teman saya itu menangis kembali gara-gara kegagalan itu. Kemudiannya, beliau menerima kembali surat panggilan pemeriksaan fizikal dan pancaindera untuk berkhidmat di Jabatan Penjara. Seterusnya beliau berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai seorang Pegawai Penjara. Banyak kisah yang beliau ceritakan kepada saya. Malah, untuk penghasilan cerpen saya yang ulung ini, saya masukkan juga mengenai dunia kepenjaraan.

Friday, 6 December 2013

~Nikmat sakit`

Hari ini agak terlewat untuk bersarapan menyebabkan sakit kepala dan mengigil-gigil. Jika di rumah, pagi-pagi lagi sudah bangun memasak untuk sarapan pagi. Mak suka sangat makan bubur nasi pagi-pagi yang dimakan bersama sambal bilis.Alangkah enaknya!

Rindu untuk pulang...

Wednesday, 4 December 2013

Ke Langkawi lagi?

Pukul 2 pagi nanti, mak dan ayah akan bertolak menuju ke Langkawi. Tujuannya sekadar meluangkan masa bersama. Mujur kelas habis awal pagi tadi justeru sempat juga saya pulang ke Seremban bertemu mereka. Tiada sebarang kata-kata yang istimewa yang mahu diucapkan, cuma sebagai anak, kerisauan dan kebimbangan itu tetap ada andai sesuatu yang tidak diingini berlaku. Bukanlah bertujuan meminta berlaku sesuatu yang tidak baik tetapi sebagai rasa kasih dan keperihatinan saya untuk membawa emak ke Arked Mara membeli jubah yang emak mahukan supaya boleh digayakan ketika berada di Langkawi nanti. Anda juga seorang anak justeru anda pasti memahami gelora didalam hati saya memikirkan mereka.



Entah kali ke berapa emak berkunjung ke Langkawi, saya sendiri sudah berasa jelak untuk ke sana. Abang ipar saya anak kelahiran Langkawi justeru, keluarga saya rajin berkunjung ke sana. Semoga perjalanan emak dan ayah selamat pergi dan selamat kembali.

Tuesday, 3 December 2013

Akrab persahabatan...

Saya punyai dua orang rakan akrab yang kembar. Mereka saling menyayangi sebenarnya walaupun jika dilihat dari mata kasar, mereka sering bertelingkah tetapi sekiranya ada individu luar yang memarahi salah seorang dari mereka, maka yang seorang lagi akan bangkit dan bersuara mempertahankan kembarnya.


Zahirnya mereka kembar yang kelihatan tidak memiliki perwatakkan yang sama, apatah lagi kakak yang berperwatakan kasar manakala si adik yang agak lembut dan lebih gemar berbaju kurung. Mereka rakan saya dari Sarawak dan berbangsa Iban. Berbesar hati apabila mendapat tahu si kakaknya berjaya untuk menjadi anggota Polis. Tidak sia-sia usaha saya menghantar mereka ke tempat temuduga dan meminjamkan baju kurung saya untuk dipakai oleh si kakak pada hari temuduga, Untuk adiknya, tidak mengapalah, si kakak pasti akan terus melindungi adiknya itu.

Monday, 2 December 2013

HUKUMAN GANTUNG DI MALAYSIA

 



 
Setelah semua proses perundangan tamat dan rayuan untuk meringankan hukuman telah ditolak oleh Lembaga Pengampunan, pihak penjara terlibat akan menunggu arahan untuk menjalankan hukuman. Apabila arahan melaksanakan hukuman dikeluarkan oleh mahkamah, pihak Jabatan Penjara akan mengendalikan urusan pelaksanaan hukuman gantung berasaskan 5 fasa tindakan. Di Malaysia, bagi seseorang yang dihukum gantung sampai mati oleh mahkamah, dari aspek perundangan yang dilalui oleh mereka memakan masa yang panjang. Pengalaman Penjara Taiping, di dapati purata seseorang itu menjalani hukumanmati dari tarikh mula jatuh hukum oleh mahkamah tinggi adalah berbeza-beza dan mengambil masa bertahun-tahun. Ada yang melibatkan masa antara 1 tahun 9 bulan dan sehingga ada yang mengambil masa 7 tahun 10 bulan.


 Dalam sistem perundangan di Malaysia, seseorang itu akan melalui beberapa peringkat perbicaraan terlebih dahulu sebelum hukuman mati dilaksanakan. Peringkat pertama ialah hukuman oleh Mahkamah Tinggi diikuti Mahkamah Rayuan dan terakhir sekali oleh Mahkamah Persekutuan. Sekiranya ketiga-tiga peringkat mahkamh ini memutuskan keputusan bersalah terhadap tertuduh, maka satu rayuan pengampunan terhadap kesalahan yang dilakukan dikemukakan kepada Yang Di Pertua Agong atau Duli Yang Maha Mulia Sultan atau Yang Di Pertua Negeri, bergantung di mana kesalahan itu dilakukan. Keputusan yang diputuskan ini adalah dianggap muktamad dan sekiranya hukuman itu dikekalkan, maka mahkamah akan memerintahkan supaya Jabatan Penjara menjalankan hukuman gantung sampai mati kepada pesalah. Di Malaysia, kaedah pelaksanaan hukuman mati adalah menerusi teknik gantung. Kesalahan membunuh dengan niat, mengedar dadah melebihi jumlah yang ditetapkan dan keslahan bersabit pemilikan senjatapi adalah di antara perbuatan yang boleh membawa kepada hukuman gantung sampai mati.

Saturday, 30 November 2013

Ayah si Penoreh Getah...

Sudah berminggu tidak pulang ke Kampung, teringat akan kenangan zaman kanak-kanak yang sarat dengan kehidupan kami sekeluarga, Ayah seorang Penoreh Getah.

Di kampong, semua mak cik yang berniaga di kedai minum Teh, mesti mengenali saya. Sekira ternampak kehadiran saya, pasti akan bertanya "ekau kan yang mengikot ayah kau ngeteh pagi-pagi sebelum ayah kau hantar poie tadika?". Dan selalunya, jawapan yang akan saya berikan hanya senyuman yang melebar.

Sebelum bersekolah Tadika, setiap pagi saya akan mengikuti ayah ke kebun getah. Ayah menoreh dan saya pula akan tidur di pondok kecil yang dibina (Pundung : bahasa Negeri), kemudian pada waktu tengah hari pula, ayah akan menghantar saya ke kilang tempat emak bekerja.

Kadang kala, jika saya tidak mahu duduk di dalam stor kilang berseorang sementara menunggu emak habis bekerja, saya akan menemani ayah berada di kebun getah sepanjang hari. Saya akan mengayuh basikal kecil saya menuju ke kebun getah kepunyaan ayah (kebun Felda) manakala ayah terpaksa mengekori saya dari belakang. Jika melihat saya yang kepenatan mengayuh kerana terpaksa mendaki bukit yang tinggi, lalu ayah akan menyuruh saya membonceng motosikalnya, dan basikal akan diikat dibahagian belakang tempat duduk.

Pernah suatu ketika, saya cuba meniru segala yang ayah lakukan dengan mengapai cawan getah cair untuk dicurahkan kedalam tong. Malangnya, getah cair itu tertumpah ke atas rambut saya. Terpaksa membotakkan kepala untuk menghilangkan getah berkenaan kerana melekat kuat pada rambut.



Ramai yang mengatakan bahawa saya adalah anak kesayangan ayah. Mungkin benar, sebab ayah sentiasa menunaikan permintaan saya. Kemana sahaja ayah pergi, saya pasti akan dibawa bersama berbanding adik beradik yang lain. Sehingga kini, apa sahaja bantuan yang ayah mahukan, pasti ayah lebih selesa meminta bantuan daripada saya. Dan dengan senang hatinya saya menunaikanya.

Walaupun kini setiap bulan Felda akan memberi wang pada setiap bulan tetapi ayah masih mengambil upah untuk menoreh getah. Setiap minggu saya yang  akan membantunya untuk mengutip getah-getah beku untuk dijual (Lantun). Mula-mula memang busuk, tapi lama kelamaan fikir kembali bagaimana seorang bapa boleh bertahan demi anak-anaknya untuk bertahun-tahun ini kembali menguatkan semangat untuk terus membantu ayah.

Friday, 29 November 2013

Gubahan bunga manik

  Pameran:



Bersama pensyarah dan rakan-rakan:
 
Bunga manik saya:

 

Tuesday, 26 November 2013

Motivasikan diri anda

KATA KATA MOTIVASI
Kenali terlebih dahulu sebelum menilai, karena yang tampak indah tak selalu indah dan yang tampak buruk tak selalu buruk.
Hidup tanpa mempunyai TUJUAN sama seperti " Layang-layang putus" Miliki tujuan dan PERCAYALAH anda dapat mencapainya.
Orang bijak adalah orang yang selalu belajar dari kegagalannya sedangkan orang yang bodoh adalah orang yang selalu menutupi kegagalannya.
Orang yang gagah perkasa itu bukan orang yang bertubuh kekar melainkan orang yang mampu mengendalikan emosinya ketika marah.
Kebanyakan orang gagal adalah orang yang tidak menyadari betapa dekatnya mereka ke titik sukses saat mereka memutuskan untuk menyerah.
Jangan pernah berfikir tidak akan pernah bisa mendaptkan dia, meraih cita-cita,dan segala hal yang kau inginkan.
Orang sukses takkan pernah mengeluh bagaimana kalau akan gagal,namun berusaha bagaimana untuk berhasil.
Genggamlah bumi sebelum bumi menggengam anda, pijaklah bumi sebelum bumi memijak anda,maka perjuangkanlah hidup ini sebelum anda memasuki perut bumi.
Jangan sesali apa yang telah terjadi kemarin, tapi jika kamu tak mampu menjadi lebih baik hari ini, kamu patut menyesali.
Hargai apa yang kamu miliki saat ini. Kebahagiaan tak akan pernah datang kepada mereka yang tak menghargai apa yang telah dimiliki.
Ketika tak ada kata terucap, diam mampu ungkapkan apa yang tak terkatakan. Tak semua bisa memahami, tapi sahabat selalu mengerti.
Kebencian hanya merugikan diri sendiri, tersenyumlah ketika disakiti. Hati tanpa benci membentuk jiwa yang tegar dan damai.
Cinta mungkin akan membuatmu terluka, tapi ia membuatmu semakin dewasa. Jadilah pribadi yang selalu memaafkan, terutama hatimu.
Jika sewaktu waktu kita jatuh bukan berarti tidak bisa bangun kembali, kecuali jika memang kita memilih menyerah.
Ketika anda merasa mengatahui banyak hal sesungguhnya itu pertanda bahwa anda tidak tahu banyak hal.
Pernikahan samasekali bukan akhir dari rangkaian cerita "cinta" yang selama ini anda rajut karena sebenarnya anda belum memulai apapun.
Seringkali kita merasa mencintai tetapi yang terjadi sebenarnya adalah kita hanya mementingkan pengakuan atas eksistensi kita.
Berbahagialah anda jika masih bisa merasa sedih karena itu artinya anda siap menerima kebahagiaan.
Kebahagiaanmu tidak ditentukan oleh orang lain, tapi oleh dirimu sendiri. Apa yang kamu lakukan hari ini, tentukan bahagia masa depanmu.
Salah satu hal tersulit dalam hidup adalah tetap menjadi dirimu sendiri ketika semua orang berusaha mengubahmu menjadi orang lain.
Kamu tak bisa kembali ke masa lalu dan mengubah sebuah awal yang buruk, namun kamu bisa membuat akhir yang indah, mulai saat ini!
Janganlah berdoa untuk hidup yang mudah, tetapi berdoalah untuk menjadi manusia yang tangguh.
Jangan terlalu bergantung pada orang lain. faktanya kamu lebih kuat dari apa yang kamu pikirkan, hanya kamu tidak mempercayainya.
Hidup ini pilihan. Apapun yang membuatmu sedih, tinggalkanlah...tanpa rasa takut akan hilangnya kebahagiaan di masa depan.


Friday, 22 November 2013

Tugasan dirumah...

Mak akan sangat berkecil hati sekiranya saya tidak membawanya atau menghantarnya ke destinasi yang emak mahukan (telahan saya). Justeru, kebiasaannya apabila pulang ke kampong, saya jarang memiliki masa yang senggang kerana jadual saya dipenuhi dengan permintaan emak.

Jika pagi, saya perlu memasak dengan segera dan kemudian saya dan emak akan keluar ke mana sahaja destinasi yang emak mahukan.

Jika petang, sekitar jam 2 hingga 3, saya akan menjadi jurutulis buat emak. Emak akan menyuruh saya menaipkan dan menyusun ayat-ayat mengenai segala coretan kenangannya untuk ruangan "MKI" atau masihkah kau ingat yang ke udara menerusi Radio Klasik Nasional. Hampir setiap hari, apabila namanya dan coretan kenangannya dibacakan oleh juruhebah bertugas, bukan main suka ku lihat wajahnya.

Kemudian petang, jam 5 hingga 6 pula, akan membantu emak berkebun. Di rumah banyak pokok bunga mawar yang emak tanam berbagai warna cuma tidak ada yang berwarna kuning. Harganya mahal. Maaf mak, kelak jika punyai wang, saya akan belikan buat mak.



Seusai maghrib, saya akan menemani emak didalam bilik memicit kepalanya. Selepas isya' pula tugas saya adalah menjadi tukang urut. Mak selalu suruh saya belajar mengurut, katanya saya mewarisi arwah atuk yang pandai mengurut.

Semua itu rutin saya selama ini.

*Emak pernah meminta saya membuatkan sebuah cerita mengenai arwah abang saya. Kenangan mengenai beliau, tetapi saya diamkan sahaja. Saya perlu melatih diri terlebih dahulu. Jika saya menghasilkan kisah mengenai abang saya, saya mahukan kisah itu disiarkan buat tatapan pembaca. Kisah mengenai seorang anak yang sangat membahagiakan dan menyenangkan ibunya meskipun telah meninggal dunia.

*Mak, kakak, adik dan saya, kami menerima wang insurans daripada arwah abang setiap bulan. Wang untuk emak, akan mak terima sehingga ke akhir hayat mak. Untuk kami pula, kami menerimanya setiap bulan sehingga umur 21 tahun tetapi boleh dilanjutkan sekiranya masih belajar. Lihat, ternyata abang masih mampu menyenangkan emak walaupun telah meninggal dunia.

~BUNGA MANIK BONZAI~

Bunga manik bonsai untuk dijadikan bahan pameran dan untuk dijual juga. Sekiranya berminat belilah:

Thursday, 21 November 2013

~coklat + muzik~

Dedikasi khas buat semua yang gemar akan coklat! Maaf, petang tadi sewaktu dalam perjalanan pulang ke kolej terdengar lagu bertajuk "COKLAT KEK" nyanyian Dato Fazley. Saya tidak menemukan sebarang lirik apatah lagi video untuk dikongsikan. Sayangnya.....

#Ini pula yang saya temukan dalam pencarian tadi :lagu nyayian Ana Raffali.

Lirik Lagu Kek Merah Ana Raffali
Dia cuba warnakan kek coklat
dengan pewarna tiruan yang murah.
Tapi adunannya terlalu pekat.
Lantas kek coklatnya jadi kek merah.

Jadi apa nak buat?
Kek dalam ketuhar,
nampak kelakar.

Sukar untuk aku jamah
sepotong kek merah.
Sekali ku suap
terus tergigit lidah.
Tertanya-tanya mungkin ada yang kurang
ataupun ada yang terlebih.
Hingga kek coklat-merahnya
membuatku terasa
sungguh aneh.

Kek merah yang dulunya kek coklat
telah dihiasi buah tempatan.
Sekali pandang nampak cukup hebat
tapi hanya pandangan permukaan.

Lirik Kalau Berpacaran

Jadi apa nak buat?
Kek dalam ketuhar,
nampak terbakar.

Mana mungkin aku tak perasan.
Kau berdalih terang-terangan.
Cubalah sembunyi,
jangan tipu diri.
Aku tak percaya kau hanya
mangsa keadaan.








Monday, 18 November 2013

Mencalar mimpi...

 Cabaran zaman persekolahan telah berakhir, tetapi kini bermula episod baru yang mencalar mimpi.

Jika ditanya pada hati "sudikah kamu duhai hati melepaskan segalanya pergi dan mengejar kebahagiaanmu?". Maka jawab si hati "Sudah pasti aku mahu, berada disini sahaja cukup mengundang tohmahan dari hati-hati lain, mereka tidak memahami hati yang satu ini".

Saat ini mula bertanya pula pada diri, sanggupkah agaknya diri untuk melangkah pergi meninggalkan cita-cita sebaliknya berpaling mengejar impian.

Dan impian, sanggupkah dimusnahkan semata-mata untuk memuaskan hati-hati orang.

Harapan, kenapa agaknya berbeda apa yang direncanakan untuk masa hadapan, apakah silapnya?

Hati telah melukakan hati yang satu lagi, ianya telah menjadi separuh. Hati itu mahukan cita-cita, impian dan harapan seiring, bersatu dengan hati mengejar kebahagiaan, mencipta kemenangan dan menjadi orang yang menang tanpa memikirkan tanggapan orang lain.

Sayangnya wahai hati, segalanya mencalar mimpi sekaligus merobek hati, menikam kesegenap pelusuk kalbu yang telah memusnahkan segalanya. Terima Kasih.

Wednesday, 13 November 2013

Coklat meransang memori

Saya asyik berfikir, mengimbas kembali, mengenang kembali dan apa juga kaedah untuk mendapatkan kembali rasa, bau dan sentuhan kenangan mengenai coklat ini. Tidak tahu mahu memulakan dengan kisah apa sehingga saya mengambil masa yang terlalu lama untuk bercerita soal perasaan saya terhadap coklat.

Sekitar tahun 2011 saya dan rakan-rakan Sekolah (STAR Gemas) pernah berkunjung ke UKM, ketika itu cuti semester justeru UKM sunyi tanpa pelajar yang memenuhi setiap ruang legar di Fakulti FSSK, ketika itu abang-abang dan kakak-kakak daripada persatuan PERMANIS (Persatuan Anak Negeri Sembilan) yang menyambut kehadiran kami dan dibawa mengunjungi makmal coklat di sana.


Kami diajar dan berpeluang merasa coklat disana, malah ketika berkunjung ke Muzium Coklat tempoh hari juga mengingatkan saya terhadap rasa coklat tersebut. Semasa di Muzium coklat, saya tercari-cari coklat yang berbentuk sfera untuk dihadiahkan kepada rakan baik saya. Coklat berbentuk sfera bertujuan membuat rakan saya itu turut mengimbau kembali detik-detik tersebut. Pada ketika itu, antara variasi bentuk coklat yang ada dia hanya membeli coklat yang berbentuk sfera tersebut untuk dihadiahkan pada ibunya. Kata beliau, jarang untuk jumpa coklat berbentuk sfera, jika coklat-coklat yang lain sudah biasa dilihat dan boleh sahaja dibeli di kedai-kedai sekitar Gemas.

Coklat makanan yang mengilhamkan. Saya gemarkan kek berperisa coklat, masih terasa enak dan lembut kek-kek coklat yang pernah dihadiahkan kepada saya. Terima Kasih Daun Keladi.

Ini kek Ulangtahun Mak dan Ayah khas daripada kami adik beradik buat mereka.
 
Ini pula kek Hari Kelahiran saya.
 
Kemudian, ini kek dari pihak lelaki untuk saya.
 
Dan ini dari saya untuk mereka.
 
#Semuanya berperisa COKLAT!


Tuesday, 12 November 2013

Permainan bergenerasi...

Zaman kanak-kanak saya gemar bermain Monopoly/ Saidina/Jutaria dan apa juga nama buat permainan itu. Mustahil ada yang tidak gemar akan permainan yang membuat diri menjadi Jutawan dalam dunia permainan. Seronok, terhibur dan teruja apabila bergelar seorang jutawan meskipun hanya permainan. Sejak kecil, hingga kini saya masih lagi gemar bermain permainan ini. Malah, didalam bilik saya, saya memiliki permainan ini (ada tersimpan didalam almari). Bulan lepas baru sahaja saya, adik, kakak dan seorang kawan kepada adiknya bermain permainan ini. Seronok pastinya!

                                                                     Jutaria

                                                                         Saidina

Monopoly
 
 
 
 
#Terpandang kotak permainan Jutaria didalam almari, kenangan bersama-sama sepupu akrab sewaktu kecil menyingkap kembali keakraban kami sewaktu kecil. Namun, segalanya berubah kini kerana kami menempuh dunia yang berbeza. Dia bakal Doktor perubatan manakala saya hanya berkecimpung dalam dunia kesusasteraan. Mereka memandang rendah terhadap dunia kecintaan saya! Insya-Allah saya juga bakal bergelar Doktor jika punya rezeki. Maka saya tidak perlu diperlekehkan oleh manusia bijak pandai kononnya tetapi buta dalam menilai makna sastera yang sebenar.


Saturday, 9 November 2013

Lelaki Feminis

Ramai yang bertanya kepada saya mengenai "lelaki feminis" ini seusai pembentangan. Tidak pernah ada yang membuat tajuk baharu sedemikian maka sayalah pencetusnya! Saya berasa terpanggil untuk mengolah idea penulis novel Kaing-kaing itu sendiri yang menyuruh saya menemukan nilai feminis dalam watak lelaki.

 

Sekian.

Friday, 8 November 2013

Awan sarat dengan Air Hujan

Merenung ke langit seketika, menatap indah ukir-ukir  bentuk awan yang memutih. Awan yang tadinya putih bertukar kelam dalam keadaan tergesa-gesa bergerak pantas meninggalkan kondisi tadinya. Kebiruan langit yang cerah bertukar kelabu, seakan-akan kehitaman. Kemudian awan yang bergerak pantas berhenti di satu destinasi menurunkan titis-titis halus air hujan. Titis halus bertukar menjadi rintik kasar, lantas mencurah membasahi bumi. Menadah curahan air hujan, membasahkan segenap ruang dalam hati.


Dalam kegembiraan itu, rupanya ada terselit duka. Kata Mak, adik kemalangan! perkhabaran ini hanya singgah kepada diri ini setelah sehari berlakunya kejadian tersebut. Mereka selalu begitu, dulu juga mak pernah melakukan sebegini yang akhirnya menimbulkan kekesalan dalam hati ini. Jika dulu, mereka tidak mengkhabar berita kematian Uwan belah mak, alasan mereka tidak mahu mengganggu diri ini yang sedang belajar. Hanya diri ini yang tidak berpeluang menatap wajah Uwan buat kali terakhir. Sejak itu, diri ini menanam tekad untuk tidak lagi tinggal berjauhan dengan keluarga, apatah lagi tinggal di asrama. Dan cukup diri ini memaksa diri untuk berada di asrama kini. Lalu, berulang kembali duka yang lama.

Wednesday, 6 November 2013

Hari Penjara.

Selama ini, saya fikir Penjara hanyalah suatu ruang kosong dan sempit yang dipenuhi dengan manusia-manusia yang sepanjang masa hanya terkurung sepi di sebalik tembok batu yang memisahkan antara ruang dan waktu. Ruang mereka hanya di dalam sel kecil yang terpaksa berhimpit, bersesak merebut segenap udara untuk meneruskan kehidupan, sebaliknya ruang kita yang bebas tidak pula kita hargai dengan sebaiknya. Tertarik dengan satu persembahan lakonan pendek oleh warga Penjara. Rupanya, ada kumpulan teater dalam Penjara, saya fikir hanya manusia yang tidak terbatas oleh ruang dan waktu ini sahaja yang bisa melakukan itu, tersalah perkiraan saya.
Mereka tidak hanya melatih warga penghuni melakukan aktiviti pertanian dan pertukangan, sebaliknya turut menjadi tenaga pengajar melatih penghuni dalam dunia lakonan.

 
Kumpulan Pancaragam Jabatan Penjara
 
Perbarisan pelbagai anggota.
 
Perasmian
 
Jabatan Penjara
 
Si cilik yang memakai baju seragam anggota Penjara.
 
Perbarisan bersenjata
 
 
Silat Seni Tangkas Penjara
 
***Paling istimewa malam sebelumnya ialah Ceramah Cinta Ilmu dari Ustaz Don! menarik!
 
#Mata mak saya, tidak lepas menatap wajah Ustaz Don ketika beliau sedang makan, apabila ditarik oleh mak cik saya barulah mak hendak berganjak.
 
 
Pengalaman menarik buat diri saya.

Sunday, 27 October 2013

Buku baru...

Buku-buku baru untuk dijadikan koleksi bahan pembacaan. Tekad untuk memiliki sebuah bilik yang akan dijadikan perpustakaan mini bakal terlaksana Insya-Allah. Doakan beliau ditempatkan di Kajang agar terlaksana impian memiliki ruang belajar sendiri dan dikelilingi dengan buku-buku. Alangkah indahnya dunia itu!

                              Kali ini membeli dua buah buku terpakai dari Metro Point, Kajang.

#Saya sayang buku-buku yang dibeli ini, sekiranya ada yang mahu meminjam untuk di fotokopi,
saya tidak izinkan!
 
 
 
 

Friday, 25 October 2013

Riadah..

Melepaskan rasa "Gian" untuk berbasikal petang tadi. Sudah lama tidak mengayuh basikal tetapi syukur masih mampu mengayuh mendaki bukit tinggi. Destinasi kami bermula dari Kolej Ibu Zain dan menuju ke Tasik Ukm, kemudian berpatah kembali ke Kolej Ibu Zain untuk memulangkan kembali basikal yang disewa.

 
Foto Jurugambar tidak dapat disertakan. Terima Kasih kepada Azimah kerana membantu merakam kenangan ini.

Sunday, 20 October 2013

Medan (i)

Sekitar penghujung tahun 2011, saya dan keluarga berpeluang mengikuti mak cik saya yang berasal dari Medan pulang ke rumah kakaknya untuk majlis perkahwinan anak saudaranya. Kesempatan berada di negara orang, menjadikan saya seorang yang teruja untuk mengenali budaya, bahasa dan juga adat perkahwinan orang jawa di sana.

 
 
 


Menariknya ketika berada di sana, saya di minta oleh ibu pengantin perempuan untuk menjadi pengapit bagi pihak lelaki. Agak pelik dan juga janggal bagi saya dan mungkin janggal juga bagi mata yang melihat saya yang berbaju kurung berjalan memegang gulungan sesuatu yang berbentuk tanglung namun di perbuat daripada pucuk daun kelapa yang kebiasaannya di buat ketupat di Malaysia.



Saya benar-benar teruja dengan pengalaman tersebut, saya menyaksikan sendiri bagaimana adat perkahwinan jawa di sana. Tradisi mereka seolah-olah tradisi Hindu kerana wujudnya budaya mengelilingi batu giling dan kemudian pengantin lelaki akan meletakkan kakinya di atas batu giling tersebut manakala pengantin perempuan akan memecahkan telur dan di lumurkan ke atas kaki pengantin lelaki seterusnya menyarungkan cincin di jari kaki pengantin lelaki.



Sempat juga saya merasa berada atas singgahsana tersergam indah ini. Rindukan kenangan sewaktu berada disana.

Sunday, 13 October 2013

Taksub hijau.

Apa sahaja yang berwarna hijau, semuanya menarik dimata saya! Mak, Kakak, Abang, adik dan semuanya kecuali ayah, memarahi saya yang asyik memilih baju berwarna hijau untuk dipadankan pada hari bahagia kelak. Kata mereka, bertunang sudah serba hijau, kain yang saya beli untuk dihantar tempah juga berwarna hijau, bersanding juga perlukah saya memilih hijau juga?

                                                          Apa salahnya serba hijau?

                                                               Hijau itu cantik!
Bilik saya berwarna hijau, karpet untuk bilik juga berwarna hijau, langsir semestinya warna hijau, cadar juga berwarna hijau. Semuanya hijau. INDAH.

Wednesday, 9 October 2013

Bali?

Mengkaji sedikit sebanyak kebudayaan Bali untuk majlis diskusi novel esok membuat saya teringat akan janji tunangan rasmi saya untuk membawa saya bercuti ke Ubud, Bali setelah halalnya ikatan itu. Teruja dan seperti biasa saya suarakan permintaan saya untuk membawa emak bersama, emak pasti seronok untuk melancong. Malangnya cepat sahaja permintaan saya dibantah. Merajuk dengan bantahan itu, saya meminta untuk dibawa ke Bukit Fraser sahaja. Tidak mengapalah suatu hari nanti saya pasti mampu untuk bawa emak melancong bersama-sama saya.



Monday, 7 October 2013

Kesihatan...

Mula merindukan kesihatan yang baik. Penatnya apabila terpaksa berulang kali ke tandas, membuang segala kotoran yang ada, tidak cukup dengan itu, memuntahkan pula segala makanan yang ada didalam perut. Kesakitan yang teramat memaksa saya untuk bertemu Doktor, katanya saya perlu dimasukkan air ke dalam badan. Tetapi saya tetap tidak mahu, lalu ubat yang diberikan hanya disimpan didalam beg, sehinggalah pagi ini apabila dipaksa, mahu atau tidak, terpaksa saya lontarkan pil-pil itu kedalam mulut dan dengan rakusnya menelan air.

Friday, 4 October 2013

Hampa mungkin?

Saya agak ketakutam memandu membawa teman-teman, ahli keluarga atau sesiapa sahaja. Peliknya, saya sangat berani memandu sendirian, jika baik mood saya maka baiklah cara saya memandu, tetapi jika tidak, makin kuat pedal minyak akan dipijak. Saya tidak merungut untuk memandu jauh semalam, pertama kali seumur hidup saya memandu dari Bangi-Labu, kemudian Kuala Pilah-Bahau, masih lagi tiada jawapan lokasi sebenar saya patut menunggunya, lalu saya meneruskan pemanduan ke Rompin-Pasir Besar langsung menuju ke pekan Gemas. Setiba di Gemas, katanya ambil dia di Jasin (Melaka), tidak mengapalah saya memandu dari Gemas-Air Kuning, Air Kuning ke Jasin. Agak jauh perjalanan saya, tetapi saya masih perlu menunggu beberapa jam kerana dia baru bertolak dari Kluang (Johor). Hari ini katanya mahu ke Klang pula! berpatah kembali ke Selangor?, sakitnya rasa dihati, jika rasa hendak ke Selangor tidak perlulah saya bersusah payah pulang ke sini. Janji untuk berada di Kampung itu, hanya tinggal janji. Hampa itu berada dekat pada diri saya tetapi pedihnya rasa dalam hati, Tuhan sahaja yang maha mengetahuinya.

Thursday, 3 October 2013

kasih & sayang

Hari ini sewaktu asyik menulis mengenai watak lelaki itu yang sangat manja dan mesra dengan ibunya yang sering memeluk mesra tubuh ibunya dan acapkali lena dipangkuan ibunya mengingatkan saya mengenai pasangan ibu bapa yang berbeda cara menzahirkan kasih sayang mereka terhadap pasangan masing-masing.

Pertama ialah ibu bapa saya. Ayah bukan lelaki yang romantik kerana tidak pernah bercanda dengan anak-anaknya apatah lagi menjawab setiap pertanyaan daripada kami.(Ayah pendiam yang keterlaluan). Tetapi saya agak teruja apabila menemui sekeping foto mereka sewaktu pergi bercuti di Hatyai, agak teruja melihat gambar mesra ini. Alhamdulillah, mereka bahagia meski ayah tidak pernah menzahirkannya dihadapan kami.

       Ayah tidak gemar bergambar, justeru foto ini punya nilai sentimental buat mereka.


Berbeza pula dengan pasangan ibu bapa ini, saya lihat mereka sangat penyayang. Si ayah akan menggenggam erat tangan si ibu ketika melintas jalan. Dia juga membantu ibu didapur untuk memasak. Ibu ini tidurnya dalam pelukan suaminya. Mereka sangat romantis.
**Ayah ini pernah berkata, dia sangat menyayangi saya. Berbunga-bunga segala taman didalam hati, mendengar kata-kata manis itu.


**Ayah saya pula pernah mengutus surat mengatakan saya adalah anak yang paling disayanginya. Terima Kasih Allah kerana membenarkan saya memiliki kasih sayang daripada kedua-dua ayah ini.