BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, 2 October 2013

~tirai mimpi semalam~

Abangku yang sulung pergi menemui penciptanya ketika aku berumur 6 tahun. Seawal usia itu, apalah yang aku fahami erti perpisahan yang abadi itu. Malah, ketika semua orang sibuk berduka, menanti kepulangan jenazah ke rumah, aku masih lagi berlari berkejar-kejaran di rumah. Semua orang yang datang pada ketika itu memeluk aku sambil menghulur not kertas yang bernilai buat kanak-kanak seperti aku. Senyuman manis aku balas kepada mereka atas pemberian mereka. Fikirku itu wang untuk aku membeli gula-gula berperisa udang yang plastik jernihnya boleh di makan. Tidak aku hiraukan setiap mata yang merah menangis, tangisan adik kecilku yang kata mak seawal usia 8 bulan tidak sekali pun mengganggu aku untuk leka bermain.

Van Jenazah tiba di iringi dengan dua buah bas daripada syarikat Abangku bekerja. Rakan-rakannya ramai, semuanya aku kenali. Tapi hairan apabila mereka sibuk menguruskan abang yang terbaring kaku. Setelah tubuh kaku abang sempurna dimandikan dan disarungkan baju serba putihnya, tidak lama kemudian, aku lihat emak dan semua yang ada mengucup dahi abang. Aku mula merasakan sesuatu yang tidak enak singgah dalam hatiku. Tiba giliran aku untuk mengucup dahinya. Terasa sejuk, nyaman dahi abang, tidak seperti selalu, menitis tanpa aku sedari air mata ini lalu tubuhku segera di tarik orang.

Ramai yang menegah aku membuntuti Ayah dan rakan-rakan abang yang mengusung jenazah ke kuburan. Aku tidak pedulikan mereka, aku duduk mencangkung ditepi liang lahad yang digali. Aku perhatikan setiap tingkah mereka. Tubuhku ditarik lagi, mereka melarang aku berada dekat pada lubang kubur berkenaan. Melihat aku yang seolah-olah termangu menyaksikan semua itu, ayah menyuruh kakakku membawa aku pulang ke rumah.

Sudah bertahun lamanya abang menemui Tuhannya. Kerinduan aku padanya tidak sedalam kerinduan emak pada abang. Kasih emak pada abang tiada penghujungnya...Al-Fatihah buat kekanda Mohd Rafizal Bin Radzali.

0 komentar: