Sudah berminggu tidak pulang ke Kampung, teringat akan kenangan zaman kanak-kanak yang sarat dengan kehidupan kami sekeluarga, Ayah seorang Penoreh Getah.
Di kampong, semua mak cik yang berniaga di kedai minum Teh, mesti mengenali saya. Sekira ternampak kehadiran saya, pasti akan bertanya "ekau kan yang mengikot ayah kau ngeteh pagi-pagi sebelum ayah kau hantar poie tadika?". Dan selalunya, jawapan yang akan saya berikan hanya senyuman yang melebar.
Sebelum bersekolah Tadika, setiap pagi saya akan mengikuti ayah ke kebun getah. Ayah menoreh dan saya pula akan tidur di pondok kecil yang dibina (Pundung : bahasa Negeri), kemudian pada waktu tengah hari pula, ayah akan menghantar saya ke kilang tempat emak bekerja.
Kadang kala, jika saya tidak mahu duduk di dalam stor kilang berseorang sementara menunggu emak habis bekerja, saya akan menemani ayah berada di kebun getah sepanjang hari. Saya akan mengayuh basikal kecil saya menuju ke kebun getah kepunyaan ayah (kebun Felda) manakala ayah terpaksa mengekori saya dari belakang. Jika melihat saya yang kepenatan mengayuh kerana terpaksa mendaki bukit yang tinggi, lalu ayah akan menyuruh saya membonceng motosikalnya, dan basikal akan diikat dibahagian belakang tempat duduk.
Pernah suatu ketika, saya cuba meniru segala yang ayah lakukan dengan mengapai cawan getah cair untuk dicurahkan kedalam tong. Malangnya, getah cair itu tertumpah ke atas rambut saya. Terpaksa membotakkan kepala untuk menghilangkan getah berkenaan kerana melekat kuat pada rambut.
Ramai yang mengatakan bahawa saya adalah anak kesayangan ayah. Mungkin benar, sebab ayah sentiasa menunaikan permintaan saya. Kemana sahaja ayah pergi, saya pasti akan dibawa bersama berbanding adik beradik yang lain. Sehingga kini, apa sahaja bantuan yang ayah mahukan, pasti ayah lebih selesa meminta bantuan daripada saya. Dan dengan senang hatinya saya menunaikanya.
Walaupun kini setiap bulan Felda akan memberi wang pada setiap bulan tetapi ayah masih mengambil upah untuk menoreh getah. Setiap minggu saya yang akan membantunya untuk mengutip getah-getah beku untuk dijual (Lantun). Mula-mula memang busuk, tapi lama kelamaan fikir kembali bagaimana seorang bapa boleh bertahan demi anak-anaknya untuk bertahun-tahun ini kembali menguatkan semangat untuk terus membantu ayah.
0 komentar:
Post a Comment