BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, 22 November 2013

Tugasan dirumah...

Mak akan sangat berkecil hati sekiranya saya tidak membawanya atau menghantarnya ke destinasi yang emak mahukan (telahan saya). Justeru, kebiasaannya apabila pulang ke kampong, saya jarang memiliki masa yang senggang kerana jadual saya dipenuhi dengan permintaan emak.

Jika pagi, saya perlu memasak dengan segera dan kemudian saya dan emak akan keluar ke mana sahaja destinasi yang emak mahukan.

Jika petang, sekitar jam 2 hingga 3, saya akan menjadi jurutulis buat emak. Emak akan menyuruh saya menaipkan dan menyusun ayat-ayat mengenai segala coretan kenangannya untuk ruangan "MKI" atau masihkah kau ingat yang ke udara menerusi Radio Klasik Nasional. Hampir setiap hari, apabila namanya dan coretan kenangannya dibacakan oleh juruhebah bertugas, bukan main suka ku lihat wajahnya.

Kemudian petang, jam 5 hingga 6 pula, akan membantu emak berkebun. Di rumah banyak pokok bunga mawar yang emak tanam berbagai warna cuma tidak ada yang berwarna kuning. Harganya mahal. Maaf mak, kelak jika punyai wang, saya akan belikan buat mak.



Seusai maghrib, saya akan menemani emak didalam bilik memicit kepalanya. Selepas isya' pula tugas saya adalah menjadi tukang urut. Mak selalu suruh saya belajar mengurut, katanya saya mewarisi arwah atuk yang pandai mengurut.

Semua itu rutin saya selama ini.

*Emak pernah meminta saya membuatkan sebuah cerita mengenai arwah abang saya. Kenangan mengenai beliau, tetapi saya diamkan sahaja. Saya perlu melatih diri terlebih dahulu. Jika saya menghasilkan kisah mengenai abang saya, saya mahukan kisah itu disiarkan buat tatapan pembaca. Kisah mengenai seorang anak yang sangat membahagiakan dan menyenangkan ibunya meskipun telah meninggal dunia.

*Mak, kakak, adik dan saya, kami menerima wang insurans daripada arwah abang setiap bulan. Wang untuk emak, akan mak terima sehingga ke akhir hayat mak. Untuk kami pula, kami menerimanya setiap bulan sehingga umur 21 tahun tetapi boleh dilanjutkan sekiranya masih belajar. Lihat, ternyata abang masih mampu menyenangkan emak walaupun telah meninggal dunia.

0 komentar: